Tuesday 19 January 2016

Beza Madu Tualang & Madu Kelulut

Ramai yang bertanya apa beza Madu Tualang dan Madu Kelulut.
Ramai juga yang fikir Madu Kelulut adalah lebih baik kerana harganya yang lebih tinggi.
Kami senaraikan di bawah perbezaan di antara dua jenis madu ini.


MADU TUALANG




Lebah tualang atau nama saintifiknya Apis Dorsata mendapat nama dari kebiasaannya bersarang di pokok tualang yang tumbuh tinggi di dalam hutan. Pokok tualang mempunyai ketinggian hampir mencecah 70 meter. Satu pokok tualang boleh dihuni sehingga 100 sarang lebah tualang. 

Madu tualang dihasilkan oleh lebah tualang yang mendapatkan nektar dari hampir 50% bunga-bungaan hutan, lalu menjadikan madu ini mempunyai nilai khasiat yang lebih tinggi berbanding madu lain.

Biasanya pencari madu mempunyai pokok-pokok tertentu yang ditandakan untuk dituai oleh mereka di dalam hutan. Ini kerana sifat lebah tualang yang sering kembali ke pokok yang sama untuk membina sarang. Sesetengah pencari madu masuk ke hutan pada waktu malam pada hari tertentu. Disebabkan kesukaran proses untuk mendapatkan madu ini, ia berharga lebih tinggi dari madu biasa.


MADU KELULUT


Lebat kelulut merupakan sejenis lebah tidak bersengat yang bersaiz kecil seperti lalat. Lebah kelulut biasanya membina sarang dalam sistem tertutup samada pada tunggul kayu, akar, atau di dalam rongga tanah. Kelulut yang didapati di hutan Malaysia biasanya bersarang pada batang kayu yang telah ditebang.


Secara purata, madu kelulut mempunyai rasa yang sedikit masam berbanding madu lain. Bagaimanapun, rasa madu kebiasaannya adalah bergantung kepada makanannya. Pengalaman seorang sahabat menternak lebah kelulut mendapati madu yang dihasilkan lebahnya mempunyai rasa kayu ('woody'), dikatakan kerana rumahnya berhampiran dengan banyak pokok-pokok besar yang ditanam sebagai teduhan jalan. Apabila sarang kelulut tersebut dipindahkan berhampiran pokok belimbing, madu yang dihasilkan menjadi masam. 

Selain itu, madu kelulut juga kebiasaannya berwarna lebih jernih berbanding tualang. Bagaimanapun, sekali lagi ia bergantung kepada apa yang dimakannya. Seorang sahabat penternak lebah mendapati madunya berwarna ungu, kerana di sekeliling rumahnya terdapat banyak pokok bunga yang berwarna ungu.

Madu kelulut mempunyai harga pasaran yang tinggi kerana penghasilannya yang bermusim dan dalam kuantiti yang kecil. 


No comments:

Post a Comment